1. PENDAPAT: PENGHAYATAN LAGU NEGARAKU
1.PENDAPAT - CIRI-CIRI GENERASI WAWASAN
2.PENDAPAT - PERANAN IBU BAPA MENANGANI MASALAH PENAGIHAN
DADAH
3. PENDAPAT - KEMPEN GALAKAN MEMBACA
4. WAWANCARA- MELESTARIKAN ALAM SEKITAR
5.WAWANCARA- WARISAN BANGSA
#########################################
1. PENGHAYATAN LAGU NEGARAKU
Negaraku
Tanah tumpahnya darahku
Rakyat hidup bersatu dan maju
Rahmat bahagia Tuhan kurniakan
Raja kita selamat bertakhta.
|
Lirik lagu Negaraku di atas antaranya menyentuh soal perpaduan, kesyukuran dan taat setia rakyat kepada raja dan negara.
Huraikan peranan setiap rakyat Malaysia dalam menjamin kesejahteraan negara sebagaimana yang dihasratkan dalam lirik tersebut.
Contoh 1
Semenjak merdeka, tampuk kepimpinan negara kita terajui oleh enam orang
pemimpin yang berkaliber. Bermula dengan Tunku Abdul Rahman Putra
Al-Haj, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun
Datuk Abdullah Ahmad Badawi dan kini Yang Amat Berhormat Dato’ Sri
Mohamed Najib bin Tun Abdul Razak yang mendukung gagasan 1Malaysia bagi meneruskan legasi kepimpinan
ayahandanya, Tun Abdul Razak. Sejak dulu lagi, soal perpaduan,
kesyukuran dan taat setia kepada raja dan negara amatlah diambil serius
dalam pentadbiran negara sehinggakan diilhamkan dalam lagu kebangsaan
kita iaitu ‘Negaraku’ yang diolah berdasarkan lagu Terang Bulan. Isu
perpaduan, kesyukuran dan kesetiaan kepada raja dan negara tidak harus
diletakkan sebagai tanggunggjawab para pemimpin semata-mata kerana kita
sebagai rakyat juga berperanan mendukung usaha murni kerajaan untuk menjamin kesejahteraan negara.
Sebagai rakyat Malaysia, kita sangat bertuah kerana dapat hidup dengan
harmoni walaupun negara kita mempunyai rakyat yang berbilang kaum, agama
dan kepercayaan. Oleh itu, kita mesti mengekalkan keharmonian hidup ini
dengan bersatu padu tanpa mengira agama atau keturunan kerana kita
merupakan bangsa Malaysia yang mempunyai persamaa dari segi latar
belakang sejarah. Peristiwa hitam 13 Mei 1969 haruslah dijadikan
sempadan kerana sekiranya kita berpecah-belah, maka igauan ngeri itu mungkin akan berulang. Amalan ‘serumpun bagai serai, seliang bagai buluh’
patut diteruskan agar kita mampu menangkis segala anasir luar yang cuba
menceroboh dan menghancurkan negara bangsa yang telah kukuh terbina
semenjak Empayar Kesultanan Melayu Melaka lagi. Sebagai contoh, isu
sensitif seperti hak istimewa orang Melayu dan bumiputera tidak wajar
diungkit kerana hal tersebut telah termaktub dalam perlembagaan negara
kita yang telah dipersetujui oleh wakil pemimpin pelbagai kaum semasa
Suruhanjaya Reid membuat tinjauan di ambang kemerdekaan negara
lagi. Oleh itu, kita perlu saling menghulurkan bantuan apabila ada
rakyat Malaysia yang ditimpa musibah tanpa mengambil kira warna kulit
mahupun agama. Tidankan tegas pemimpin negara kita yang menentang Dasar
Aperteid di Afrika membuktikan bahawa negara kita menentang eksploitasi
hak asasi manusia berdasarkan perbezaan warna kulit. Jadi, kita perlulah
megekalkan kesatuan ini dan hidup bersatu padu bagi menjamin kedaulatan
negara kita.
Selain itu, kita juga berusaha meningkatkan produktiviti bagi menjamin
kestabilan ekonomi negara. Ekonomi merupakan pemangkin kepada kemajuan
sesebuah negara. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menggunakan akal
fikiran yang kreatif dan kritis bagi memanfaatkan kekayaan hasil bumi
untuk pembangunan negara. Sebagai contoh, kita perlulah merebut peluang
melalui program SCORE yang dilancarkan oleh kerajaan yang meliputi
kawasan Mukah, Sarawak sehingga ke Simalajau Bitulu, Sarwak dengan
menjadi tenaga kerja mahir dalam perusahaan arang batu. Adalah suatu
kerugian sekiranya kita terpaksa mengimport pekerja mahir dari luar
negara sedangkan kita mempunyai modal insan yang mencukupi untuk
membolehkan negara kita berdiri di atas kaki sendiri untuk terus
maju. Pelancaran dasar kerajaan yang baru oleh Perdana Menteri kita
iaitu Dasar Baru Ekonomi (DBE) jelas menunjukkan matlamatnya ialah untuk
meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia dan melahirkan masyarakat
berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Sebenarnya, usaha kerajaan
untuk meningkatkan produktiviti negara bukanlah baru bermula pada hari
ini, tetapi telah dilaksanakan semenjak merdeka lagi seperti Rancangan
Lima Tahun Malaysia, Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pandang Timur dengan
menjadikan Jepun sebagai negara contoh. Oleh itu, sebagai penduduk tetap
negara ini, kita haruslah melahirkan pelbagai idea yang bernas unruk
memastikan ekonomi dan produktiviti negara meningkat, bukannya
dieksploitasi oleh orang luar seperti pada abad ke-19 iaitu perusahaan
biji timah kita dikuasai oleh orang Eropah. Jadi, saya menyeru agar
semua rakyat Malaysia bangkit dan mengerah tenaga untuk membangunkan ekonomi negara kita supaya kita dapat bergelar negara maju menjelang Wawasan 2020.
Di samping itu, kita juga mestilah menyokong semua rancangan kerajaan
untuk membangunkan negara. Sekiranya kita tidak memberikan sokongan yang
padu kepada pihak kerajaan, maka semua usaha tersebut adalah sia-sia
kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Penyertaan
rakyat Malaysia dalam semua kempen yang dilaksanakan mampu menjadikan
impian kerajaan terlaksana, buktinya, Rancangan Malaysia Keempat
membuahkan hasil apabila pendapatan negara meningkat akibat daripada
sokongan daripada sektor swasta dan rakyat Malaysia. Program Latihan
Khidmat Negara wajar disertai oleh para belia demi mempertahankan negara
pada masa hadapan apabila diancam bahaya. Selain itu, program Gerakan
Desa Wawasan juga patut disertai oleh rakyat untuk membantu meningkatkan
pendapatan keluarga bagi menjayakan usaha murni kerajaan iaitu membasmi
kemiskinan. Dengan demikian, kita dapat melihat peri pentingnya
sokongan rakyat terhadap kerajaan bagi memajukan negara.
Seterusnya, kita patut mengharumkan nama negara di persada dunia agar negara kita tetap dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi
dengan negara maju di dunia. Semua rakyat mestilah menguasai sesuatu
kemahiran dan mengasah bakat mereka supaya dapat member menyumbang
kepada negara. Sebagai contoh, Datuk Nicol Ann David iaitu ratu squash
negara telah mengharumkan nama negara dengan menjadi pemain nombor satu
dunia. Selain itu, nama negara kita turut gah diperkatakan apabilah
Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, Pulau Pinang berjaya merangkul
pingat emas dalam Pertandingan Olympiad Robotik di Pohang, Korea pada
tahun lepas. Kita sepatutnya mengikut jejak langkah mereka untuk
mengharumkan nama negara supaya negara kita disegani oleh dunia.
Akhir sekali, kita juga mestilah mempertahankan negara daripada ancaman
kuasa luar ataupun anasir luar yang menerobos masuk ke negara kita
untuk menggugat keamanan. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mempunyai
kesetiaan kepada raja dan negara dengan tidak berpaling tadah
atau menjual rahsia kerajaan kepada negara luar. Selain itu, rakyat
Malaysia juga tidak boleh memburuk-burukkan nama negara apabila berada
di negara luar mahupun menggunakan kemudahan teknologi maklumat untuk
menyebarkan fitnah tentang pemimpin-pemimpin negara. Sebagai contoh,
pasukan imegresen tidak boleh mengambil rasuah daripada mana-mana pihak
luar yang mahu menceroboh sempadan negara kita demi untuk melakukan
kegiatan haram seperti penyeludupan dadah. Oleh itu, sekali lagi
ditegaskan bahawa rakyat perlu mempertahankan maruah negara dan kedaulatan negara daripada kuasa luar supaya kemerdekaan kita berkekalan.
Konklusinya, terdapat pelbagai peranan rakyat Malaysia untuk menjamin
kesejahteraan negara. Perkara yang paling penting ialah rakyat perlu berganding bahu dengan pihak kerajaan dan bersikap bagai aur dengan tebing, serta memegang prinsip bukit sama didaki, lurah sama dituruni
untuk memastikan kemerdekaan dan kesejahteraan yang kita nikmati pada
hari ini dapat diwarisi kepada generasi yang akan datang. Oleh itu, ayuh
rakyat Malaysia, bangkitlah dari lena dan marilah kita berganding bahu,
berpimpin tangan dalam merealisasikan wawasan 2020 yang telah
diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1990. Marilah
kita memastikan mimpi menjadi realiti, janganlah patah kemudi, walaupun
keringat telah tumpah di kaki, teruslah mengayuh ke pangkalan untuk
bergelar negara maju di dunia ini.
( 1000 patah kata )
#########################################KEPADA ANAK-ANAK DIDIK, MAAF KERANA FORMAT SEBENAR FORUM TIDAK DAPAT DIPAPARKAN.
AKTIVITI: FORUM
TAJUK: WARISAN BANGSA
Setiap negara, pasti mempunyai nilai dan budaya yang tersendiri. Begitu juga dinegara kita yang terdiri dari lima budaya besar iaitu Melayu, Cina dan India, Kadazan danIban. Namun begitu, akibat arus modenisasi yang semakin hebat pada era ini, sedikit-sedikitamalan dan cara hidup yang menjadi pegangan hidup , terhakis. Kita lihat di mana-mana ,masyarakat kurang menghargai nilai estetika yang ada dalam masyarakat, sebagai contoh,pemakaian kain batik sarung. Amat kurang sekali ,dilihat anak-anak muda memakai kainsarung batik kecuali di negeri Kelantan dan Terengganu. Sehubungan itu, SEMBANG PAGI pada pagi ingin membicarakan isu ini secara lebih ilmiah.
Pengerusi: Selamat sejahtera saya ucapkan kepada para penonton yang setia berada
di hadapan TV . Tajuk isu pada pagi ini ialah ”WARISAN BANGSA”.
Apakah sebenarnya warisan bangsa yang tergambar dalam kotak fikiran kita?
Apapula kepentingannya sehingga kita perlu mempertahankan warisan bangsa
ini?Akhir sekali , benarkah arus pemodenan yang dikatakan sebagai
punca hilangnya penghargaan generasi sekarang terhadap warisan bangsa
ini ?Bagi membincangkan persoalan-persoalan yang dikemukakan , tiga orang
tokoh telah dijemput, di sebelah kanan saya ialah Pengarah Arkib Negara
iaitu Datuk Seri Atiq Azman. Di sebelah kiri saya, Presiden Yayasan Belia
Negara,Dato’ Afiq Agos dan di hujung sana ialah, Budayawan Negara, Datuk
Radin Syamel.Bagi mendapatkan takrifan yang tepat tentang warisan bangsa,
amat sesuai sekali jika Datuk Radin Syamel memulakan bicara kita pada
pagi ini. Baiklah Datuk, apakah definisi yang paling sesuai untuk tajuk
kita pada hari ini?
Datuk Radin
Syamel: Terima kasih saudara pengerusi. Jika dilihat dari sudut budaya,
warisan bangsa membawa maksud, apa-apa amalan dan cara hidup yang
diamalkan oleh segolongan masyarakat. Misalnya, dalam masyarakat
Melayu, terdapat pelbagai cara berpakaian iaitu dalam kalangan Melayu
Jawa, kita dapati mereka memakai songkok bercorak batik tetapi di
negeri Kelantan golongan lelakinya lebih gemar memakai ’kain
semutar’. Dalam kalangan kaum Hindusendiri terdapat pelbagai jenis kain
sari yang mewakili pelbagai etnik dalamkaum India seperti yang
dimakan oleh kaum Cina, ada makananCina ala-Hokkien, ada makanan ala-
Hainan yang mempunyai sedikit kelainan.Sementara itu, dari sudut
sejarah, warisan bangsa pula menjurus padapeninggalan-peninggalan
berbentuk bangunan sama ada bangunan-bangunanyang dibina oleh penjajah
ataupun bangunan-bangunan nenek moyang kitayang terdahulu. Sebagai
contoh, bangunan Muzium Abu Bakar Johor danbangunan Sultan Ibrahim di
Johor Bahru, merupakan sebuah bangunan binaan Inggeris yang dibina
semasa pentadbiran British di Tanah Melayu. Kewujudan bangunan ini amat
besar ertinya kerana dari aspek seni binanya, amat berlainan dengan
seni bina Melayu pada masa itu. Selain menjadi bukti dalam sejarah
Malaysia bahawa kita pernah dijajah oleh suatu kuasa asing.Itu sahaja
pandangan saya tentang maksud warisan bangsa.2Pengerusi: Terima kasih.
Datuk Radin
Syamel. :Baiklah penonton, begitulah takrifan ringkas tentang warisan bangsa.
Jika dihalusi, warisan bangsa merupakan elemen penting untuk membina
jati diri dan semangat patriotik dalamkalangan masyarakat. Lebih-lebih
lagi, dalam jiwa generasi muda sekarang.Maka, kita dengar pandangan
Datuk Seri Atiq Azman tentang kepentingan-kepentingan mengekalkan
warisan bangsa kita. Silakan Datuk Seri.Datuk Seri Atiq Azman: Terima
kasih saudara pengerusi. Beginilah saudara pengerusi dan penonton,kita
lihat kepentingannya dari aspek pembentukan jati diri terlebih
dahulu.Saya fokuskan pada penggunaan bahasa kebangsaan dan bahasa
ibunda.Seperti yang dikatakan oleh Datuk Radin Syamel sebentar tadi,
warisan budaya bermaksud seluruh cara hidup masyarakat. Jadi, salah
satunya ialah penggunaan bahasa kebangsaan dan ibunda dalam
masyarakat. Untuk membentuk jati diri yang tebal dan tulen, kita
tidak dapat lari dari menghargaidan meletakkan bahasa kita di tempat
paling atas. Lihat sahaja , negara-negara maju, baik Jepun, Korea,
Perancis, Cina dan Jerman, rakyat di negara-negara tersebut amat bangga
mereka merupakan gergasi ekonomi dunia misalnya,Jepun merupakan negara
industri robotik paling canggih di dunia.Yang dapat dirumuskan
berdasarkan pendapat saya sebentar tadi ialah, semuanegara maju amat
menghargai, bangga dan memartabatkan bahasa ibunda dan kebangsaan
masing-masing. Mereka mempelajari bahasa asing semata-mata untuk
mendapatkan ilmu dan dibawa balik ke negara mereka untuk dimanfaatkan.
Perlu diingatkan juga jika kita bercita-cita menjadi negara maju dalam
acuan dan budaya kita sendiri, bahasa kebangsaan dan ibunda
perlu dimartabatkan dengan bersungguh-sungguh. Bagi saya, bangsa yang
tidak menghargai keunikan bahasa ibunda dan kebangsaan sendiri,
sebenarnya amatlonggar jati diri dan semangat patriotiknya.Seterusnya,
saya melihat kepentingan menghargai dan mengekalkan warisan bangsa
ialah kesannya kepada anak-anak kecil dan remaja yang masih muda.Jika
kita mahu generasi muda kekal dalam budaya hidup nenek moyang yangpenuh
dengan nilai-nilai ketimuran, maka warisan bangsa seperti adat
resam ,yang merangkumi cara berpakaian, makanan dan cara bermasyarakat
perlu berterusan menjadi amalan. Bagi saya, bangsa berjaya ialah bangsa
yang berjaya menjadi ikon dunia tetapi masih mengekalkan cara hidup
nenek moyang yang positif. Saya rujuk,Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh
mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohammed iaitu,
beliau mahu Malaysia muncul sebagai negara maju beracuan sendiri. Tidak
meniru mana-mana budaya negara lain. Maka, untuk merealisasikan impian
ini, kita perlu memastikan warisan bangsa kita kekal menjadi ikon dalam
diri setiap anak muda.Itulah sahaja pandangan saya saudara
pengerusi.
Pengerusi: Terima kasih Datuk, menarik sekali penjelasan sebentar tadi. Yang
paling menarik ialah isu tentang kepentingan warisan bangsa ini kepada
golongan muda. Namun begitu, yang kita semua lihat sekarang, warisan
bangsa ini seolah-olah ditelan oleh arus pemodenan yang amat laju
pergerakannya.Untuk melihat fenomena ini dengan lebih jelas, saya
jemput Dato’ Afiq Agos untuk memberi pandangan beliau tentang gejala
serius ini.
Dato’Afiq
Agos : Terima kasih saudara pengerusi. Berbicara tentang arus pemodenan ini,
kita tidak lari dari mengaitkannya dengan isu globalisasi. Jika, kita
rujuk Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat , globalisasi membawa takrif ,
proses yang membolehkan sesuatu aktiviti ( sosial, ekonomi, kebuayaan
dan sebagainya)disebarkan atau diperluas ke peringkat antarabangsa atau
ke seluruh dunia,terutamanya dengan adanya kemudahan sistem komunikasi
dan dasar terbuka.Jadi, dapat disimpulkan pengglobalisasian memang
berupaya menghakis nilainilaihidup dalam masyarakat.Dalam dunia yang
tiada lagi sempadan, siapa-siapa yang kuat memangberupaya mengubah rupa
bentuk masyarakat dunia. Saya ambil contoh, negara maju iaitu Amerika
Syarikat yang dikatakan gergasi dalam semua aktiviti dunia, dari bidang
sosial hinggalah ketenteraan. Masyarakat dunia cenderung melihat negara
ini sebagai negara yang ideal untuk diikuti, agar sama-sama dapat
bergelar masyarakat moden. Situasi ini banyak menempiasi generasi muda
sehingga kita lihat pengagungan terhadap pakaian dari Barat amatdominan.
Malah, dalam masyarakat Cina, kita dapati anak-anak mudanya jarang-
jarang memakai pakaian Cheong Sam sebagai pakaian harian, malah tidak
juga menjadi pilihan semasa Tahun Baru Cina. Bagi saya itu satu kerugian
kerana pakaian merupakan salah satu identiti bangsa Cina selain bahasa
bunda.Pengaruh modenisasi yang kedua terhadap warisan bangsa ialah
kurangnya penghargaan terhadap nilai-nilai estetika sejarah negara dan
seni pertukangan nenek moyang. Kita dapati kerakusan membina bangunan
berciri moden telah hampir membenam keindahan seni bangunan tradisional.
Jarang-jarang kita melihat masyarakat membina bangunan yang dihiasi
ukiran budaya Melayu, Cina dan India hingga pelbagai langkah diambil
untuk mengekalkan pengetahuan ini dalam minda masyarakat seperti
mewujudkan Taman Mini Malaysia di Air Keroh , Melaka. Di taman ini,
barulah kita dapat mengenali rupa bentuk rumah-rumah tradisional rakyat
Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Saudara
pengerusi, itulah pendapat saya tentang perkara ini.
Pengerusi: Terima kasih Dato’. Begitulah pandangan-pandangan tajam daripada ahli-
ahli panel kita . Saudara penonton, memang tidak dapat dinafikan bahawa,
warisan bangsa amat perlu untuk dipelihara. Oleh itu, pelbagai usaha
dilaksanakan bagi memastikan warisan budaya kita terus mendominasi
kehidupan masyarakat. Saya amat tertarik dan kagum akan usaha
Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmood, isteri Perdana Menteri kita, yang
berusaha gigih agarbatik dan songket kembali segar dalam masyarakat.
Begitu juga usaha mantan Menteri Pertanian, Datuk Seri Sanusi Joned yang
bekerja keras mempopularkan makanan kampung iaitu ikan patin, ikan
lampan, ikan talapia dan ulam-ulaman. Di bawah pengawasan Kementerian
Pertanian pada ketika itu, pelbagai promosi dilakukan di hotel-hotel, di
pasar-pasar tani dan pasarpasarmalam.Selain itu, usaha gigih kerajaan
Melaka mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah di Banda Hilir , Melaka
amat disyukuri. Hal ini kerana,Banda Hilir ialah mercu tanda sejarah
negara kita. Semangat cinta akan negara sewajarnya berkobar-kobar dalam
jiwa setiap generasi apabila melihat kesan-kesan peninggalan penjajah.
Oleh itu, mulai hari ini, sama-samalah kita menghargai warisan bangsa
ita. Hanya bangsa yang kenal jati diri ialah bangsa yang dihormati.
Sekian saja, rancangan SEMBANG PAGI. Saya sudahi dengan assalamualai’kum.Sehingga jumpa lagi.
( TEKS UJIAN LISAN BERKUMPULAN )
Posted by cikgujana at 6:35 PM 0 comments
Wednesday, September 30, 2009
##############################################################################
Tuesday, September 29, 2009
MELESTARIKAN ALAM SEKITAR
TEKS FORUM YANG SEBENAR TIDAK DAPAT DIMUAT TURUN. HARAPA PARA PELAJAR SUDAH ARIF TENTANG FORMAT PENULISAN ESEI JENIS FORUM
Teks Lisan 4 Arif :Muhammad Nasir Ibrahim
Muhammad Hafiz Baharudin
Aisyamariam Ulza
Wong Xin Yi
UJIAN LISAN BERKUMPULAN
PERBINCANGAN ILMIAH:
FORUMTAJUK: MELESTARI ALAM SEKITAR
Mutakhir ini, arus modenisasi menderaskan lagi pembangunan negara. Pelbagai projek sosioekonomi dijalankan dengan begitu rancak namun secara tidak sedar alam sekitar sudah terjejas. Satu kemelut yang terpaksa dihadapi oleh negara kita. Kita sebenarnya tersepit antara keinginan menjadi sebuah negara maju dengan alam sekitar yang perlu dipelihara, bak kata peribahasa “ditelan mati mak,diluah mati bapa”. Untuk melihat isu ini dengan lebih jelas, satu perbincangan ilmiah telah dianjurkan oleh Persatuan Pencinta Alam Sekitar Daerah Johor Bahru sempena kempen “Sayangi Bumi Kita”.
Pengerusi:
Assalamualaikum kepada hadirin sekalian. Saya Profesor Nasir Ibrahim mengucapkan selamat datang kepada semua yang ada di sini. Semuga kedatangan Tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis ilmu ini diberkati Allah S.W.T. Sempena kempen “Sayangi Bumi Kita” yang sedang berlangsung di seluruh negara, Persatuan Pencinta Alam Sekitar Johor Bahru mengambil kesempatan untuk bersama-sama membantu kerajaan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan alam ini kepada kita. Visual yang ditayangkan kepada kita sebentar tadi menunjukkan betapa hebatnya serangan pencemaran di seluruh dunia. Hal ini amat mengerikan kerana selama ini kita semua hidup dalam sebiji “belon” yang terlalu kotor.Oleh itu, bagi membincangkan fenomena ini dengan lebih spesifik dan bermaklumat, penganjur telah menjemput tiga orang tokoh yang terlibat secara langsung dengan alam sekitar iaitu di sebelah kanan saya ialah Datuk Muhammad Hafiz Ali , Pengarah Jabatan Metreolagi Malaysia. Di sebelah kiri pula ialah Dr. Wong Xin Yi, aktivis pencinta alam yang sangat aktif di peringkat antarabangsa. Beliau bertugas sebagai sebagai pensyarah kanan di Jabatan Pembangunan Alam Sekitar , Universiti Sains Malaysia. Di hujung sana pula, Datuk Aisyamariam Ulza , Setiausaha Kerja bagi Kementerian Sains dan Alam Sekitar, Putrajaya.Selamat datang semuanya ke majlis ini. Baiklah, semua yang berlaku mesti ada punca atau punca-puncanya, begitu juga dengan isu ini. Terlalu banyak pendapat yang diberi tentang pencemaran air, udara dan bunyi. Oleh itu, kita dengar pendapat Dr. Wong Xin Yi tentang persoalan ini. Silakan Doktor.
Dr. Wong Xin Yi:
Terima kasih Profesor Nasir . Sebelum saya bincangkan tentang punca-puncanya, saya rasa lebih baik diterangklan terlebih dahulu maksud pencemaran. Pencemaran alam sekitar membawa maksud perbuatan mencemarkan alam sekitar dengan unsur-unsur yang kotor. Maka, sesuatu yang pada asalnya bersih dan dapat digunakan dengan baik dan selamat telah menjadi kotor dan mendatangkan mudarat apabila digunakan.Antara punca-punca yang diwartakan oleh sebagai penyebab pencemaran. terbahagi kepada dua jenis iaitu ;:Pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi .Pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi ialah pencemaran yang berlaku dengan sendirinya setelah berlakunya bencana alam seperti letusan gunung berapi, dilanda ribut taufan, gempa bumi dan sebagainyaPencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia . Pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia ialah pencemaran yang dilakukan oleh manusia sama ada sengaja atau tidak sengaja . Antaranya ialah pencemaran udara. Contohnya, gas-gas beracun, zarah-zarah yang terperangkap hasil dari asap kenderaan, jerebu dari kesan pembakaran secara terbuka dan sebagainya. Pencemaran air,contohnya, pembuangan air kumbahan, sisa-sisa kimia, haba, pembuangan sampah dan sebagainya Pencemaran tanah,contohnya, pemusnahan hutan akibat pembalakan, pembuangan sisa-sisa kimia dan sisa-sisa pepejal .Saya rujuk pencemaran akibat aktiviti manusia sebagai perbincangan. Di Malaysia, hampir 90%-95% kawasan pedalaman telah mempunyai sistem jalan raya ;bermakna jumlah kenderaan bermotor di negara kita telah meningkat secara keseluruhannya. Namun begitu, kenderaan bermotor merupakan penyumbang terbesar pencemaran udara di negara kita. Rujukan saya seterusnya ialah pencemaran laut; lebih 90% daripada punca pencemaran laut adalah disebabkan oleh aktiviti manusia dan baki 10% adalah berpunca dari sektor perkapalan . dapatan ini berdasarkan kajian Persatuan Pencinta Alam, bertajuk Tumpahan Minyak Yang Meracuni Perairan Malaysia, yang disiarkan dalam majalah Dewan Kosmik (Mac), DBP, Kuala Lumpur, 1995, m.s.:53-55)Bagi pencemaran tanah pula, saya rujuk pada penerokaan hutan. Hutan memang mempunyai nilai komersial dalam ekonomi negara. Hutan didapati membekalkan kayu balak dan kertas yang merupakan satu sumber penting bagi pendapatan mata wang asing . Di kawasan tropika, rotan dianggarkan menyumbangkan nilai tahunan sebanyak RM 1200 juta setahun dalam perdagangan dunia. Akan tetapi eksploitasi hutan yang melampau untuk tujuan pembalakan, pertanian, ternakan dan sebagainya telah mengakibatkan pencemaran alam yang sangat dahsyat .Oleh itu, jelaslah pencemaran alam sekitar banyak dilakukan oleh tangan-tangan manusia berbanding kejadian pencemaran semula jadi seperti gempa bumi, letusan gunung berapi dan ribut taufan. Setakat ini sahaja pendapat saya tentang punca-punca pencemaran, saudara pengerusi.
Pengerusi:
Terima kasih Dr. Wong Xin Yi kerana memberi pandangan yang bernas. Jika teliti, memang benar pencemaran banyak dicetuskan oleh manusia sendiri. Apabila keuntungan yang tergambar di hadapan mata, nilai-nilai murni tidak lagi menjadi pegangan . yang menyedihkan semua penduduk dunia merasai kesan negatifnya sedangkan yang melakukan kerosakan hanyalah segelintir manusia. Bagi melihat sejauh mana fenomena buruk pencemaran ini, kita tujukan permasalahan ini kepada datuk Muhammad Hafiz Ali. Silakan Datuk.
Datuk M. Hafiz Ali:
Terima kasih saudara Nasir. Tentang kesan buruk pencemaran ini , saya berpendapat semua rakyat Malaysia telah mengetahui dan menontonnya di televisyen atau internet. Kesan yang amat dirasai sekarang akibat pencemaran udara ialah pemanasan global yang semakin meningkat dari hari ke hari. Pemanasan global telah mengubah cuaca dan sistem iklim dunia.Ribut taufan misalnya berlaku dengan amat kerap. Selain itu, berlakunya pencemaran serius secara global seperti kesan rumah hijau, permusnahan ozon dan hujan asid . Sementara itu, pengeluaran gas monoksida iaitu sejenis gas beracun yang boleh membunuh sekiranya terkumpul dalam kawasan yang tertutup . Sejenis lagi unsur yang boleh terhasil melalui penggunaan kenderaan bermotor ialah plumbum iaitu sejenis bahan kimia yang sangat beracun dan boleh menyebabkan kerosakan otak terutamanya dalam kalangan kanak-kanak .Seterusnya kita lihat pula kesan pencemaran air. Saya ambil bukti yang berlaku di Jepun iaitu Teluk Minamata, Jepun. Pencemaran toksik terdapat dalam air menyebabkan simptom kebas-kebas, sakit kepala, kabur penglihatan dan penuturan yang tidak betul . Sesetengahnya berakhir dengan kelumpuhan dan ada yang menemui maut . Simptom yang disebabkan oleh keracunan raksa ini telah membabitkan beratus-ratus keluarga nelayan . penyalit ini seyerusnya dikenali sebagai penyakit Minamata .Kesan daripada pencemaran yang berlaku bukan sahaja dialami oleh manusia bahkan turut memberi kesan kepada kehidupan yang lain . Antara kesan pencemaran yang banyak membunuh organisma laut di perairan cetek ialah kesan daripada tumpahan minyak ke laut . Apabila tumpahan minyak berlaku dengan banyak berhampiran persisiran pantai ia membentuk lapisan minyak yang mengancam kehidupan laut serta burung . Tumpuhan tersebut juga turut menjejaskan tumbesaran dan kesuburan plankton yang boleh mengurang pembiakan makanan laut . dalam jangka panjang akan menjejaskan sumber pendapatan nelayan.Antara kesan yang dianggap kronik ialah anomalia, iaitu pembesaran tubuh dan tingkah laku yang tidak normal, serta kurang daya ketahanan badan kesan penggunaan sumber air yang tersebut . Itu sahaja pendapat saya saudara pengerusi.
Pengerusi:
Terima kasih Datuk. Nampaknya , kesan pencemaran ini bukanlah sekadar berlaku di negara kita. yang tidak diselia rapi . Oleh itu,beberapa langkah perlu dikenal pasti untuk mengatasi isu yang serius ini. Saya menjemput Datuk Aisyamariam Ulza memperkatakan langkah-langkah yang telah , sedang dan akan diambil oleh kementeriaanya.
Datuk Aisyamariam:
Terima kasih dan assalamualikum semua. Apabila disebut Kementerian Sains & Alam Sekitar ini, yang tergambar ialah tindakan-tindakan yang pihak kementerian lakukan.Antara langkah yang telah dilaksanakan ialah menggalakkan orang ramai menggunakan petrol tanpa plumbum bagi kenderaan bermotor. Mencari alternatif selain daripada minyak juga adalah penting bagi tujuan mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar. Dua bahan alternatif yang dicadangkan ialah gas asli (natural gas) dan Propana.Dewasa ini, kajian bagi menghasilkan minyak enjin biomassa daripada tumbuh-tumbuhan sedang giat dijalankan. Contohnya di negara kita, ahli sains telahpun menemui sejenis minyak daripada kelapa sawit yang boleh mengurangkan pencemaran udara tanpa menjejaskan kecekapan enjin. Sungguhpun penemuan ini masih terlalu baru untuk dipastikan sama ada praktikal atau pun tidak, patut dijadikan satu titik permulaan bagi meningkatkan usaha kita ke arah mencapai konsep pembangunan berterusan yang perihatin terhadap persekitaran.Di peringkat antarabangsa,buat masa ini pula, Malaysia dan Indonesia melalui ASEAN telah menyalurkan pandangan mereka mengenai isu-isu Selat Melaka . Satu rancangan yang dikenali sebagai Rancangan Kontigensi Kebangsaan Mengawal Tumpahan Minyak telah diadakan di Jabatan Alam Sekitar . Objektif kerjasama serantau ini ialah bagi merealisasikan kerjasama serantau untuk membolehkan satu tindakan serta-merta dijalankan bagi mengawal tumpahan minyak yang tertumpah di perairan Malaysia .Demikianlah sahaja , antara langkah yang telah dilaksanakan oleh kerajaan kita bagi menangani isu ini.
Pengerusi:
Demikianlah pandangan-pandangan daripada panel jemputan kita pada kali ini. Semuga , segala maklumat yang diperoleh dalam malis ilmu ini memberi banyak kesedaran kepada kita. Yang dapat disimpul ialah, pencemaran sebenarnya hasil kerja tangan-tangan rakus sebahagian daripada kita. Sewajarnya kita sedar akan bumi ini sahajalah tempat tinggal kita. Oleh itu sama-sama kita jaga dan pulih semula keindahan alam sekitar kita. Assalamualaikum.
Posted by cikgujana at 8:20 PM 1 comments
###########################################################################
KEMPEN GALAKAN MEMBACA ( KARANGAN BAHAGIAN A- BERPANDU GRAFIK
KEMPEN GALAKAN MEMBACA DALAM KALANGAN RAKYAT MALAYSIA.
Para ahli bijak pandai ada menyatakan bahawa orang yang mendapat kebahagiaan hidup ialah orang yang menimba ilmu pengetahuan. Ada juga yang beranggapan bahawa kejayaan seseorang diukur berdasarkan kekuatannya tetapi sebenarnya ‘kekuatan’ itu merujuk kepada kekuatan dan kekayaan ilmu pengetahuan. Bagaimanakah lagi caranya untuk memperkaya ilmu pengetahuan? Tentulah melalui jambatan ilmu iaitu membaca.
Marcapada ini, pelbagai kempen galakan membaca sedang dan telah dilaksanakan di negara ini, namun keberkesanan kempen masih tidak menyeluruh kerana tidak mendapat sambutan masyarakat. Masa inilah saatnya untuk tenaga semua pihak yang bersepadu digemblengkan bagi membentuk masyarakat yang gemar membaca.Minat membaca dalam setiap ihsan seharusnya dipupuk sejak kecil lagi. Para ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak kerana kanak-kanak seperti sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorak dan mewarnai kehidupannya. Oleh itu, ibu bapa hendaklah mewujudkan suasana membaca di rumah dan menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak dengan amalan membaca , bukan sahaja sekadar hobi tetapi untuk mencari maklumat tentang sebarang perkara yang tidak diketahui juga. Didiklah anak-anak supaya menjadi ihsan yang cemerlang kerana anak-anak semasa kecil mudah diajar dan dibentuk, bak kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Selain itu, pihak sekolah juga sedikit sebanyak memainkan peranan penting dalam mendidik ihsan kelas pertama supaya gemar membaca. Pada tahun 2002, Kementerian Pendidikan dan Pelajaran Malaysia telah melancarkan Program NILAM di setiap sekolah. Kempen ini bertujuan untuk mengisi masa lapang para pelajar dan mengelakkan mereka terjebak dalam gejala negatif, di samping menambahkan lagi ilmu pengetahuan murid-murid. Sehingga kini, pihak sekolah masih menjalankan sesi pembacaan iaitu akitiviti NILAM di sekolah dan menjadikan pusat sumber sekolah sebagai satu tempat rujukan maklumat serta dimuatkan dalam jadual kelas untuk pergi ke perpustakaan sekali-sekala. Usaha yang mulia ini perlu ditingkatkan lagi dengan berlipat ganda kerana murid-murid masih sukar dan tidak gemar melakukan aktiviti membaca. Sebaliknya, mereka lebih suka menggunakan ICT untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.
Tidak lupa juga kepada pihak media massa dan elektronik pada masa ini. Peranan mereka dalam menjayakan kempen galakan membaca amat besar kerana media massa dan elektronik berperanan sebagai ‘Penyebar maklumat untuk negara’. Hal ini telah dibuktikan melalui penyebaran ilmu melalui surat khabar, majalah, tayangan televisyen, siaran radio dan juga ruangan siber di Internet. Pada zaman teknologi dan maklumat ini, masyarakat menggunakan bahan-bahan elektronik sekurang-kurangnya enam jam sehari dan mereka lebih menumpukan perhatian pada berita-berita hangat dan cerita-cerita sensasi yang dipaparkan oleh media massa terutamanya surat khabar. Oleh yang demikian, pihak media massa dan elektronik perlu menyeru dan menggesa masyarakat supaya membaca dan menyatakan sekali kebaikan-kebaikan membaca. Jika pihak media massa berbuat demikian, tentulah masyarakat negara ini akan menuruti tuntutannya. Begitulah besarnya pengaruh media massa dan elektronik dalam kehidupan masyarakat.
Dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak, minat membaca ternyata menurun dengan drastik. Kesedaran terhadap minat membaca terbukti menurun dengan begitu ketara sekali dalam kalangan dewasa khusunya mereka yang tidak terlibat dengan bidang pendidikan. Hal ini dapat dibuktikan dengan keberkesanan kempen yang masih tidak menyeluruh kerana tidak mendapat sambutan daripada masyarakat. Apabila memasuki alam pekerjaan, kesibukan tugas dan kesuntukan masa menjadi hambatan utama seseorang itu kurang berminat untuk membaca. Sekiranya ada yang berminat, pembacaan mereka sekadar mengisi ruang kosong dalam masa senggang sahaja. Bahan bacaan yang dipilih pula hanya bahan-bahan ringan dan bahan hiburan. Sindrom ini sebenarnya menjurus ke arah pembentukan bangsa yang lemah, jumud dan tidak bermaklumat. Kejumudan dalam berfikir yang dipengaruhi sikap tidak gemar membaca dapat menjejaskan kemajuan negara dalam arus globalisasi yang mementingkan pemerolehan maklumat terkini.
Oleh yang demikian, langkah yang proaktif dan kondusif perlu diambil untuk meningkatkan keberkesanan kempen dan secara tidak langsung menyedarkan masyarakat Negara kini tentang kepentingan dan faedah membaca.Intihanya, semua pihak yang bertanggungjawab dan berautoriti perlulah segera bekerjasama sepetri aur dengan tebing untuk memastikan minat membaca dalam sanubari setiap insan tidak lupus dek teknologi moden yang sedang berkembang dengan deras dan maju seiring dengan pembangunan dan perkembangan negara. Setiap insan juga perlu berusaha sendiri untuk menggiatkan lagi aktiviti membaca dalam proses melahirkan dan membentuk pelapis generasi akan datang dan juga pemimpin berwibawa yang berkaliber dan berwawasan tinggi serta mempunyai ilmu pengetahuan yang dalam dan tiada tandingannya kecuali dengan Tuhan. Menurut Saidina Ali bin Abi Talib, berdagang dengan ilmu lebih baik daripada berdagang dengan harta; ilmu akan bertambah jika diperdagangkan, manakala harta pula akan berkurangan jika diperdagangkan. Oleh itu, marilah kita sama-sama menyambut kempen galakan membaca yang dilaksanakan oleh kerajaan dengan hati yang terbuka dan muka yang manis.
SITI NABILAH AMIRAH4 BIJAK SSI, 2009
Posted by cikgujana at 7:42 PM 0 comments
###############################################################################
PERANAN IBU BAPA MENANGANI MASALAH PENAGIHAN DADAH DALAM KALANGAN REMAJA
Kes penagihan dadah merupakan antara isu hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini. Ibu bapa sering dipersalahkan apabila isu ini menimpa anak-anak mereka.Bincangkan pernyataan di atas dengan menghuraikan peranan ibu bapa bagi memantau anak-anak mereka daripada terlibat dalam gejala penagihan dadahSaban hari cuping telinga kita dihidangkan oleh media massa tentang penagihan dadah dalam kalangan remaja. Berdasarkan maklumat daripada laman web Buletin Agensi Anti Dadah Kebangsaan 2007, seramai 1207 orang menagih dadah setiap bulan . Hal ini amat serius dan memerlukan pengawasan yang rapi oleh semua golongan masyarakat terutamanya ibu bapa. Malah, ibu bapalah yang sering diletakkan beban kesalahan apabila anak-anak terjerumus ke dalam gaung jijik penagihan dadah. Yang tersirat di sebalik pandangan ini ialah tanggungjawab untuk memantau anak-anak amat besar dalam menangani isu penagihan dadah ini berbanding golongan masyarakat yang lain.Sebenarnya , peranan ibu bapa bermula sejak anak-anak masih di peringkat kanak-kanak lagi. Menurut Dr Haji Zahazan Mohamed seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bukunya “Anakku Hebat Anakku Soleh”,
“ Zaman kanak-kanak ialah suatu zaman kanak-kanak itu mendapat pendidikan di rumah daripada ibu bapanya …"
Berdasarkan pandangan ini , maka tugas membimbing dan mendidik serta menyerapkan nilai-nilai murni merupakan tugasan besar ibu bapa malah tidak boleh dipikul oleh orang lain hatta oleh saudara mara di sekeliling. Proses pentarbiahan tentang perkara-perkara positif terutamanya nilai-nilai agama perlu dimulakan di dalam rumah. Segala kehendak baik oleh ugama seperti bercakap benar perlu diamalkan dalam kalangan ahli keluarga. Dengan kata lain, proses pemantauan dan pendidikan sebenarnya bermula dari rumah.Apabila anak-anak telah dapat menerima ajaran agama dengan baik dan mengalikasinya dalam setiap aktiviti harian , sudah pastilah mereka dapat mengawal diri daripada perkara negatif iaitui penagihan dadah.Hal ini kerana, perasaan sangat takut akan tuhan akan mencegah naluri anak-anak daripada mendekati najis dadah. Situasi ini juga berlaku kerana anak-anak dapat membezakan perlakuan yang murni dengan yang tidak bermoral. Oleh itu,pemantauan yang serius oleh ibu bapa terhadap pengamalan ugama anak-anak akan membentuk suatu benteng yang kukuh bagi menepis pengaruh penagihan dadah kepada anak-anak.
Dalam memberi perhatian kepada anak-anak, sikap pilih kasih antara anak-anak perlu dihindari. Perilaku ini mampu melahirkan rasa tidak puas hati dalam kalangan anak-anak. Perbezaan layanan akan mewujudkan tekanan perasaan, sakit hati , benci dan cemburu sesama anak-anak. Implikasinya , anak-anak yang berasa tidak mendapat layanan istimewa akan bertindak melakukan apa-apa sahaja untuk menarik perhatian ibu bapa seperti melibatkan diri dalam dunia penagihan dadah. Intihanya, perhatian yang sama rata dan adil perlu menjadi keutamaan untuk menghindari pengaruh buruk dadah.Selain itu, hubungan kekeluargaan yang erat juga mampu membendung serangan penagihan dadah dari menerobos masuk ke dalam keluarga. Hubungan erat dengan keluarga kembangan seperti datuk, nenek, ibu saudara, bapa saudara dan sepupu-sepupu akan melahirkan ikatan yang intim. Keadaan ini dapat membantu ibu bapa memantau kelakuan anak-anak kerana kebiasaannya anak-anak akan lebih mudah meluahkan isi hati kepada orang lain berbanding ibu bapa sendiri. Oleh itu , dalam usaha mengawal perilaku anak-anak dari terjebak dengan penagihan dadah, ibu bapa perlu sentiasa berhubung dan menziarahi kaum keluarga kembangan agar anak-anak berasa diri mereka sentiasa disayangi diberi perhatian oleh semua kaum keluarga. Akibatnya, anak-anak akan berhati-hati dalam setiap tindak tanduk yang ingin dilakukan. Hal ini dapat membantu ibu bapa memantau fiil anak-anak lalu menghalang anak-anak daripada terjerumus ke dalam kancah dadah yang kotor itu. Intihanya, ibu bapa mesti menguatkan ikatan ukhwah dengan saudara-mara yang lain supaya mereka boleh menjadi mata-mata yang bersedia memerhati tindak- tanduk anak-anak seterusnya dapat mengawal anak-anak dari terlibat dengan najis dadah.
Dalam mendidik anak-anak pada awal zaman remaja, ibu bapa perlu menjadi ‘rakan’ kepada anak-anak. Sebagai contoh, pakar motivasi terkenal, Dr. Fadzilah Kamsah dalam sebuah rancangan motivasi stesen televesen TV3 pernah menyarankan agar seorang bapa ‘bertukar’ menjadi kanak-kanak lelaki untuk memainkan watak raksasa melawan anak lelakinya yang menjadi watak “ultraman”.Bagi Dr. Fadzilah Kamsah , perlakuan ini amat penting bagi perkembangan mental dan emosi anak-anak kerana dapat mewujudkan hubungan yang erat dalam keluarga. Dalam erti kata lain ibu bapa perlu memahami naluri anak-anak tentang kegemaran dan kecenderungan mereka dalam sesuatu bidang. Jika ada anak-anak remaja,ibu bapa boleh melibatkan diri bersama-sama dalam aktiviti yang digemari oleh anak-anak seperti mendaki gunung. Dengan cara ini, anak-anak akan berasa dihargai dan disayangi seterusnya berasa yakin dan selamat jika bersama-sama keluarga . Natijahnya , anak-anak akan lebih gemar bersama-sama keluarga berbanding rakan-rakan di luar rumah. Oleh itu, kesefahaman antara ibu bapa dan anak-anak amat perlu, agar anak-anak tidak berasa terpinggir dan menghabiskan masa bersama-sama rakan sebaya yang boleh menarik mereka ke lembah penagihan dadah.
Akan tetapi, ibu bapa tidak boleh menyekat sepenuhnya pergaulan anak-anak di luar rumah. Lebih-lebih lagi, jika anak-anak sudah mula menapak kaki ke dalam alam persekolahan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlu memberi perhatian terhadap rakan-rakan yang menjadi sahabat anak-anak. Hal ini kerana ,kebanyakan penagih mendakwa mereka menjadi penagih kerana terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan. Malah, di peringkat remaja, pengaruh rakan sebaya lebih besar berbanding ibu bapa. Sehubungan dengan itu, latar belakang rakan-rakan anak-anak perlu diselidik dengan teliti. Adalah sangat baik jika ibu bapa menjalinkan hubungan persahabatan dengan ibu bapa kepada rakan-rakan anak-anak. Jalinan hubungan yang baik ini akan melahirkan rasa tanggungjawab yang ikhlas untuk saling memantau gerak-geri anak-anak masing-masing. Seterusnya, dapat meyelamatkan anak-anak daripada fenomena negatif ini menular dalam kehidupan keluarga.Selain menjalinkan ikatan persahabatan antara ibu bapa, kerjasama yang erat juga amat penting dijalinkan dengan pihak sekolah tempat anak-anak belajar. Keprihatinan ibu bapa tentang hal ehwal disiplin dan pencapaian akademik anak-anak di sekolah dapat menyekat anak-anak dari terus leka dan tidak menumpukan perhatian pada pelajaran. Maklumat tentang anak-anak daripada pihak sekolah perlu diberi perhatian positif. Hal ini kerana, sebahagian besar waktu siang anak-anak dihabiskan di kawasan sekolah ,iaitu lebih kurang lima jam sehari. Apatah lagi, jika anak-anak tinggal di asrama ; mereka hanya bertemu keluarga pada setiap hujung minggu sahaja. Maka , ibu bapa perlu memberi kepercayaan kepada pihak sekolah untuk bersama-sama mengawal disiplin dan tingkah laku anak-anak mereka. Melalui tindakan ini, anak-anak akan berasa sentiasa diawasi dan tiada peluang untuk melakukan hal-hal yang kurang baik seperti merokok di kawasan sekolah. Hal ini kerana, punca awal penagihan dadah datangnya daripada kegemaran merokok. Kesimpulannya, jalinan kerjasama antara ibu bapa dan sekolah juga mampu mengelak unsur buruk ini menyusup masuk ke dalam kehidupan anak-anak dan memporak- perandakan kebahagian keluarga.
Secara tuntasnya, pencegahan penagihan dadah dalam kalangan anak-anak memang terletak di bahu ibu bapa Namun begitu, ibu bapa tidak dapat bergerak sendirian bagi menanganinya. Permuafakatan dengan masyarakat amat penting. Masyarakat tidak boleh bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan hanya menuding jari kepada ibu bapa yang terbabit. Hal ini kerana, wabak dan najis dadah boleh menyusup masuk ke dalam setiap keluarga jika tidak diawasi bersama-sama. Sikap prihatin perlu ada, umpama peribahasa Melayu, cubit paha kanan, paha kiri terasa. Oleh itu, semua ibu bapa yang merupakan salah satu entiti dalam masyarakat perlu saling membahu untuk membanteras isu negatif ini daripada terus memburu anak-anak mereka lalu membarah dalam komuniti.Disediakan olehPanitia Bahasa Melayu SMK Sultan Ismail Johor Bahru11 Julai 2008
Posted by cikgujana at 7:32 PM 0 comments
###################################################################################
Friday, July 10, 2009
CIRI-CIRI GENERASI BERWAWASAN
GENERASI BERWAWASAN
Pujangga pernah mengatakan “generasi berwawasan pemangkin pembangunan negara” sememangnya kata-kata ini tidak dapat disangkal lagi. Apakah maksud di sebalik frasa generasi berwawasan itu? Generasi bermaksud pewaris masyarakat yang bakal memimpin negara untuk menstabilkan politik, memantapkan ekonomi dan mencapai kejayaan sosial. Wawasan pula dapat kita takrifkan sebagai suatu matlamat untuk mencapai cita-cita ngara pada tahun 2020. Manakala jika kita gabungkan kedua-dua perkataan tersebut, generasi berwawasan dapat kita definisikan sebagai golongan muda masa kini yang akan menerajui negara pada masa akan datang dengan ciri-ciri kepimpinan dan kewibawaan yang lengkap serta mantap demi mencapai misi dan visi Negara untuk menjadi Negara maju selaras dengan sasaran dalam Wawasan 2020. Dewasa ini, isu generasi berwawasan telah mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat kita saban hari pantas meniti dari bibir ke bibir. Isu generasi berwawasan menjadi amat penting untuk diberi perhatian dan tumpuan yang sewajarnya. Hal ini kerana, generasi berwawasan merupakan generasi pelapis pemimpin masa hadapan.
Sebenarnya kelompok generasi berwawasan ini mempunyai banyak kepentingannya dalam kehidupan seharian kita. Antaranya, negara tidak akan mundur dengan adanya generasi yang berwawasan, mereka akan dapat memimpin negara dengan lebih kreatif dan optimis. Generasi ini akan dapat mengatasi segala masalah negara dengan lebih bijak. Selain itu, pembangunan negara juga akan menjadi lebih pesat. Generasi berwawasan ini dapat menjamin masa depan negara yang baik dan meningkatkan lagi ekonomi negara. Negara juga dapat berkembang maju dan nama negara juga dapat diperkenalkan di persada dunia. Akan tetapi,dewasa ini, jika kita menyoroti isu-isu semasa, terdapat pelbagai halangan untuk melahirkan generasi berwawasan. Hal ini berlaku disebabkan beberapa faktor, antaranya generasi kini kurang kawalan dan limpahan kasih sayang daripada ibu bapa. Hal ini kerana, ramai ibu bapa yang terlalu sibuk mengejar kemewahan sehingga sanggup mengabaikan anak sendiri. Di samping itu, pemikiran generasi kini masih belum matang dan mereka sentiasa mahu melakukan sesuatu tindakan secara terburu-buru sehingga sanggup menjebakkan diri dalam kancah masalah sosial. Oleh yang demikian, semua pihak perlu melangkah sederap untuk membina satu kelompok generasi muda yang berkualiti demi merelisasikan misi nasional negara iaitu menjadi negara maju menjelang tahun 2020.
Oleh sebab hasrat murni kerajaan perlu dicapai sebaik sahaja kaki melangkah ke tahun 2020, maka remaja sendiri perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ciri dan sifat mahmudah untuk mencapai misi negara itu seiring dengan panduan dan tunjuk ajar daripada golongan dewasa. Untuk itu,generasi kita perlulah berpengetahuan luas dan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam pelbagai bidang. Sebagai contoh, mereka perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan dari pelbagai aspek, seperti ekonomi,politik dan sosial. Hal ini penting kerana apabila seseorang itu mempunyai ilmu pengetahuan yang mencakupi semua bidang, mereka akan dapat membuat penilaian dan keputusan yang bijak dan rasional. Golongan ini juga perlulah menanamkan sifat tidak jemu dalam menimba ilmu pengetahuan ,bak kata pepatah ‘hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih’. Ilmu yang diperoleh hendaklah dipraktikkan supaya tidak menjadi sia-sia sahaja. Rentetan itu, generasi muda juga hendaklah berusaha bersungguh-sungguh supaya dapat bersaing secara sihat antara satu sama lain. Hal ini merupakan satu amalan yang baik kerana selain dapat meningkatkan mutu prestasi kerja individu,amalan ini juga dapat mengeratkan silaturahim sesama manusia walaupun berlainan kaum. Selain itu, bagi merealisasikan impian negara, generasi muda sekarang perlulah mempunyai sifat keterbukaan. Hal ini kerana apabila golongan ini mempunyai sifat sedemikian, mereka lazimnya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain.
Dalam nada yang serupa, generasi yang berwawasan turut memberi kesan kepada negara kita. Kesan yang menjadi pokok kepada persoalan di sini ialah generasi berwawasan dapat menjamin kestabilan politik. Mereka merupakan pendukung sistem demokrasi berpelembagaan di Malaysia dan bertanggungjawab untuk mencapai kestabilan politik melalui pilihan raya. Direnung dari aspek yang lain, generasi berwawasan akan menerajui tampuk kepimpinan negara untuk mencapai mercu kejayaan. Jika kita menyingkap dari aspek ekonomi pula, generasi yang berwawasan dapat memantapkan ekonomi negara. Mereka juga memikul tanggungjawab dan mempunyai matlamat untuk membangunkan ekonomi negara supaya Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Seterusnya, generasi berwawasan juga dapat mencapai kejayaan sosial iaitu kesejahteraan sosial. Generasi berwawasan akan menjadi pendukung untuk mencapai perpaduan negara atau dengan kata lain mencapai integrasi nasional. Mereka sentiasa mengamalkan sikap bertoleransi dan bertolak ansur demi mencapai misi dan visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung yakni satu bangsa, satu bahasa dan satu negara. Kita perlu mengetahui, jika kita tidak mempunyai generasi yang berwawasan, sudah pasti negara kita akan mundur dan porak peranda. Pelbagai masalah akan timbul dan masyarakat juga akan berpecah belah. Maka, kita semua perlulah bersatu hati demi mewujudkan generasi yang mempunyai wawasan untuk dijadikan pedoman hidup.
Kesimpulannya, generasi berwawasan sememangnya memberikan pelbagai maslahat kepada kita. Kita boleh menjadi generasi berwawasan jika kita sentiasa berfikiran kehadapan. Generasi muda terutamanya golongan remaja perlulah sentiasa bermuhasabah dan membaiki kelemahan diri ,bak kata pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Mereka merupakan tonggak negara yang bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan. Maka adalah menjadi suatu kewajipan bagi generasi muda untuk menyiapkan diri dengan kemahiran dan skil-skil yang kontemporari agar Malaysia dapat terus bersaing dengan yang lain. Akhirul kalam, generasi berwawasan sememangnya merupakan tonggak pembangunan negara, maka kita semua perlulah berusaha untuk menjadi generasi yang berwawasan demi menyerbakkan keharuman nama negara kita di persada antarabangsa.
(802 patah perkataan)
Diubah suai dari teks asal forum
oleh Kumpulan Ujian Lisan Bahasa Melayu
Tingkatan 4 Arif 2008
Sumber - https://www.blogger.com/blogger.g?blogID=971575333368444504#editor/src=header
salam cikgu..saya nak bertanya utk karangan saya ni..soalannya Bumi yang lestari hanya impian kerana kerakusan manusia mengeksploitasi alam sekitar. Bincangkan. saya nak cerita ttg apa ya cikgu?sikap manusia terhadap alam sekita kan?saya keliru kat sini..saya harap cikgu tlg saya
ReplyDelete