Bagaimana Syarikat Satelit British, Inmarsat, Mengesan MH370
Kerajaan Malaysia telah menyimpulkan bahawa, berasaskan analisis data
satelit dari syarikat British Inmarsat, penerbangan MH370 Malaysia
Airlines telah berakhir di Lautan Hindi, dan tiada penumpang yang
terselamat.
Dalam satu kenyataan pada pukul 10.00 malam waktu tempatan (24 Mac),
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak memberitahu, dengan
menggunakan satu kaedah ‘yang belum pernah digunakan dalam penyiasatan
seperti ini’ jurutera-jurutera Inmarsat telah dapat menyimpulkan yang
posisi terakhir kapal terbang tersebut ialah di tengah-tengah Lautan
Hindi, di sebelah barat Perth.
Ini ialah satu lokasi terpencil, jauh dari mana-mana tapak pendaratan yang berkemungkinan. Oleh itu, dengan rasa kesedihan dan kekecewaan yang mendalam saya perlu memberitahu anda yang, berdasarkan data terbaru ini, penerbangan MH370 telah berakhir di Lautan Hindi.
Peranan Inmarsat dalam pencarian penerbangan MH370 Malaysia Airlines
bermula sebaik saja kapal terbang tersebut hilang. Walaupun sistem
pelaporan komunikasi utama pesawat tersebut (yang biasanya akan
menghantar posisi kapal terbang) telah dipadamkan, salah satu satelit
Inmarsat terus menerima siri ‘ping’ automatik setiap jam dari satu
terminal pada pesawat itu, yang biasanya digunakan untuk menyelaraskan
informasi masa.
Dengan menganalisa ‘ping’ ini, Inmarsat telah dapat menyimpulkan yang
penerbangan MH370 telah terbang selama sekurang-kurangnya lima jam
setelah pesawat itu meninggalkan ruang udara Malaysia, bahawa ia telah
terbang di sepanjang salah satu antara dua ‘koridor’- satu koridor
melengkok ke utara manakala satu lagi ke selatan. Pesawat itu dilaporkan
terbang pada ketinggian ‘cruise’ melebihi 30, 000 kaki.
Menurut Chris McLaughlin, Naib Presiden Kanan Perhubungan Luar di Inmarsat:-
Kami melihat kepada kesan Doppler, yang merupakan perubahan pada frekuensi disebabkan oleh pergerakan sebuah satelit di orbit. Yang kemudiannya membolehkan kami meramal jalan penerbangan pesawat itu di laluan utara dan satu lagi di laluan selatan. Itu belum pernah dilakukan sebelum ini, jurutera-jurutera kami melakukannya sebagai sumbangan unik.
Informasi ini diberikan kepada wakil kerajaan Malaysia pada 12 Mac,
tetapi kerajaan Malaysia tidak mengesahkannya kepada orang ramai
sehingga 15 Mac, menurut Wall Street Journal. Malaysia mula mengalihkan
usaha mencari pada hari itu, bagi memfokuskan kepada kawasan-kawasan
yang dikaitkan oleh informasi tersebut. Bagaimanapun, beberapa wakil
kerajaan yang terlibat dalam usaha pencarian memberi amaran bahawa
hari-hari yang telah berlalu dan pembaziran sumber boleh menghalang
penyiasatan.
(bagaimana satelit Inmarsat mencerap isyarat Ping yang dikeluarkan oleh Pesawat MH370)
Petikan Gambar dari Sumber - myMetro
Sementara itu, jurutera Inmarsat telah melakukan analisa lanjut
kepada ‘ping’ dan telah berjaya menghasilkan model kesan Doppler yang
lebih terperinci untuk laluan utara dan selatan. Dengan membuat
perbandingan antara model-model ini dan trajektori pesawat-pesawat lain
yang berada pada laluan serupa, mereka berjaya mewujudkan ‘padanan luar
biasa’ antara laluan ramalan Inmarsat di koridor selatan dan
bacaan-bacaan (ping) pesawat lain pada laluan itu.
Kata McLaughlin lagi:-
Semalam, kami boleh mengatakan secara muktamad yang pesawat itu telah mengambil laluan selatan. ‘Ping’ dari satelit ini—beserta andaian mengenal kelajuan pesawat itu—membantu Australia dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) AS bagi mengecilkan kawasan pencarian hingga kepada tiga peratus dari koridor selatan pada 18 Mac. Kami mengusahakan untuk mencari dari posisi mana ‘ping’ dari pesawat telah dihantar ke satelit, dan kami tahu yang pesawat itu pasti sudah kehabisan bahan api sebelum ‘ping’ automatik yang seterusnya, tetapi kami tidak tahu berapa kelajuan penerbangan tersebut—yang diandaikan lebih kurang 450 knot. Kami tidak boleh tahu bila bahan api habis, kami tidak boleh tahu sama ada kapal terbang itu menjunam atau meluncur, kami tidak boleh tahu sama ada pesawat itu pada masa terakhir penerbangannya telah mengurangkan kelajuan kerana kebakaran.
Inmarsat menyerahkan analisis berkaitan kepada Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) UK semalam.
Punca kapal terbang itu terhempas kini masih misteri.
Sumber
Selain itu juga, petikan dari sumber KOSMO mengatakan -
Firma rangkaian satelit Britain, Inmarsat menggunakan fenomena gelombang yang ditemui pada kurun ke-19 untuk menganalisis tujuh bunyi denyut elektronik atau 'ping' yang diterima satelitnya dari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) untuk menentukan destinasi akhir pesawat berkenaan di lokasi terpencil di selatan Lautan Hindi.
Penemuan baharu itu mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merumuskan kelmarin bahawa pesawat Boeing 777-200ER tersebut yang hilang sejak 8 Mac lalu terhempas di selatan Lautan Hindi dengan semua 227 penumpang dan 12 krunya terbunuh.
Kapal terbang itu dilengkapi sistem satelit Aero Klasik yang mengumpulkan maklumat seperti lokasi, ketinggian, arah dan kelajuan sebelum menghantar maklumat tersebut melalui rangkaian satelit Inmarsat ke pangkalan data firma berkenaan.
Sistem satelit itu dikenali sebagai Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS).
Namun, ACARS pesawat MH370 itu dimatikan atau tergendala pada awal penerbangan yang menyebabkan tiada maklumat yang diterima untuk mengesan kapal terbang tersebut.
Pesawat itu didapati masih menghantar bunyi 'ping' pada setiap jam yang diterima satelit Inmarsat.
Sekurang-kurangnya 'ping' itu dihantar lima jam selepas ia meninggalkan ruang udara Malaysia.
Bunyi 'ping' yang dihantar selepas semua sistem telekomunikasi pesawat terhenti menunjukkan kapal terbang Boeing itu terus terbang selama beberapa jam selepas ia hilang selepas melencong dari laluan penerbangannya ketika ia perlu memberitahu menara kawalan Vietnam.
Pesawat dari Kuala Lumpur sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi pada 8 Mac lalu.
Namun, bunyi 'ping' tersebut tidak mengandungi sebarang data tetapi hanya masa dan frekuensinya terkandung petunjuk-petunjuk matematik yang tersembunyi.
Pakar-pakar Amerika Syarikat dan Australia menggunakan maklumat frekuensi itu untuk memutuskan bahawa pesawat itu hilang di Koridor Selatan iaitu di Lautan Hindi dan bukan di Koridor Utara di Asia Tengah.
Maklumat tersebut turut menunjukkan bahawa pesawat itu bergerak pada ketinggian tetap melebihi 9,000 meter.
"Ia seperti menembak di dalam kegelapan (misi mencari lokasi akhir MH370).
"Saya memuji pasukan saintis yang dapat melakukan pengiraan tersebut," kata Timbalan Presiden Kanan Hal Ehwal Luar Inmarsat, Chris McLaughlin dalam wawancara bersama Perbadanan Penyiaran British (BBC).
"Hanya satu 'ping' digunakan untuk menyatakan bahawa pesawat itu masih terbang. Kami kemudian membandingkan MH370 dengan penerbangan Boeing 777-200 lain untuk merumuskan bahawa ia menuju ke selatan Lautan Hindi," katanya.
Menurut McLaughlin, berdasarkan masa yang diambil untuk isyarat 'ping' itu sampai ke satelit Inmarsat dan sudut penerbangan MH370, pihak Inmarsat kemudian memberikan dua laluan iaitu berpotensi MH370 iaitu Koridor Utara dan Koridor Selatan.
"Kami menggunakan kesan Doppler yang merupakan perubahan frekuensi disebabkan pergerakan sebuah satelit di orbit (untuk mengesan lokasi MH370)," tambahnya.
"Kami juga tidak mengetahui sama ada pesawat itu terbang pada kelajuan yang konsisten. Kami juga tidak mengetahui sama ada arahnya kemudian berubah," jelasnya.
Justeru, katanya, kami menggunakan kelajuan sistem pengesan penerbangan pandu automatik iaitu pada kira-kira 350 knot.
"Kami menggunakan apa yang kami tahu mengenai minyak dan jarak pesawat itu untuk dipadankan dengan maklumat 'ping' yang kita peroleh," tambahnya.
Saintis-saintis Inmarsat kemudian memeriksa isyarat 'ping' itu menggunakan teknik berdasarkan hukum fizik yang dikenali sebagai Efek Doppler yang ditemui pada kurun ke-19.
Efek Doppler pernah merungkaikan punca bunyi siren kereta polis berubah apabila ia menghampiri dan melintasi seseorang individu.
"Ia mengenai perubahan gelombang frekuensi MH370 dan kaitannya dengan satelit Inmarsat," kata seorang jurucakap firma berkenaan.
"Kami kemudian menganalisis data itu dan mendapati ia melalui laluan selatan," kata ketua komunikasi korporat Inmarsat, Jonathan Sinnatt. - Agensi
No comments:
Post a Comment