SOSIO-BUDAYA
Malaysia
terdiri dari 13 buah negeri dan tiga Wilayah Persekutuan; sembilan dari
negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah dibawah pemerintahan
Raja-Raja Melayu (Sultan). Pemerintahan Raja Berperlembagaan diketuai
oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang dilantik di antara
sembilan orang Raja-Raja Melayu mengikut susunan setiap lima tahun.
Malaysia
mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen yang diselenggarakan oleh
Jemaah Menteri diketuai oleh Perdana Menteri. Pilihan raya Umum diadakan
setiap lima tahun sekali. Parti yang memerintah sekarang, Parti Barisan
Nasional (National Front) merupakan parti campuran terdiri dari
beberapa parti politik yang mewakili berbagai kumpulan etnik.
Menara Kuala Lumpur mercu kemegahan ibu kota.
Ibu Negara
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah ibu negara Malaysia. la ditubuhkan pada 1857 sebagai penempatan pedagang bijih timah Cina di muara Sungai Gombak dan Sungai Kelang. Kuala Lumpur sebuah Bandar Raya Bercahaya mempunyai penduduk anggaran 1.5 juta. Pembangunan bandar raya ini terus berkembang pesat dengan bangunan pencakar langit dan salah sebuah bangunan tertinggi di dunia ialah Menara Berkembar Petronas. Terletak 25 km ke selatan Kuala Lumpur ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya yang merupakan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Manakala, mata wang Malaysia dikenali sebagai Ringgit Malaysia (RM). RM1 mengandungi 100 sen.
Sosio-Budaya
Penduduk Malaysia terdiri dari pelbagai bangsa. Jumlah penduduk anggaran tahun 2003 ialah 25.04 juta, yang terdiri dari kaum Melayu 61%, kaum Cina 30%, kaum India 8% dan yang lain-lain 1%. Terdapat juga orang Asli, Eropah dan Serani.
Keunikan Masjid Putrajaya antara tarikan pengunjungke sini.
Malaysia
sebuah negara yang penduduknya terdiri dari pelbagai kebudayaan.
Kebudayaan Kebangsaan Malaysia adalah berasaskan kebudayaan orang-orang
Melayu sebagai rakyat asal rantau ini. Kebudayaan Melayu itu sendiri
berteraskan ajaran agama Islam. Kebudayaan orang Melayu mengutamakan
nilai-nilai sopan-santun, kesederhanaan, keindahan dan keharmonian hidup
antara ahli-ahli keluarga, jiran tetangga dan masyarakat. Sikap tolak
ansur antara kaum juga menjadi pegangan. Semua bentuk kebudayaan serta
agama-agama lain adalah sentiasa dihormati. Sambutan hari-hari perayaan
seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Thaipusam, Krismas, Gawai dan
lain-lain dianggap sebagai perayaan penting.
Agama
Malaysia
terdiri dari penduduknya yang berbagai keturunan dan menganuti berbagai
agama, khususnya agama Islam, Buddha, Hindu, Tao dan Nasrani
(Kristian), di samping lain-lain sistem kepercayaan yang diamalkan oleh
berbagai kumpulan etnik yang terdapat di negara ini. Di bawah
Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi di Malaysia,
sementara agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan bebas.
Tarian Singa adalah sebahagian sebahagian daripada tarian tradisional dalam adat warisan masyarakat Cina.
Bahasa Rasmi
Bahasa rasmi yang digunakan di negara ini ialah Bahasa Malaysia (Bahasa Melayu) namun, bahasa-bahasa berbagai kaum dan suku kaum yang lain adalah bebas digunakan seperti bahasa Cina dan Tamil. Bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua dan digunakan dengan meluasnya di bidang-bidang perdagangan dan perindustrian. Kerajaan juga telah menggalakkan pekerja hotel dan ahli-ahli perniagaan yang berkaitan dengan sektor pelancongan dan perhotelan supaya mempelajari lain-lain bahasa antarabangsa.
Festival Dan Perayaan
Masyarakat majmuk menjadikan kebudayaan negara ini lebih berwarna-warni. Penduduknya yang berbilang kaum menyambut pelbagai perayaan sepanjang tahun. Di negara ini, musim perayaan adalah masa untuk bergembira dan menjalin persahabatan serta muhibah antara kaum. Setiap kali perayaan, semua rakyat tanpa mengira keturunan, turut serta memeriahkan suasana dengan kunjung-mengunjungi antara satu sama lain. Oleh itu, upacara 'rumah terbuka' adalah satu suasana yang tidak asing lagi di hari-hari perayaan.
Islam
Bagi umat
Islam, tiga perayaan utama diraikan, iaitu Hari Raya Puasa (Aidilfitri),
Hari Raya Haji (Aidiladha) dan Maulidul Rasul. Hari Raya Puasa diraikan
bagi menandakan berakhirnya sebulan berpuasa pada bulan Ramadan. Hari
Raya Haji (Aidiladha) dirayakan pada hari ke-10 bulan Zulhijjah (bulan
Islam) ketika umat Islam yang mengerjakan ibadat Haji di Mekah berada di
peringkat akhir ibadah mereka. Pada pagi hari tersebut umat Islam
menunaikan sembahyang Hari Raya Aidiladha di masjid-masjid. Mereka yang
berkemampuan akan mengerjakan ibadat korban. Perayaan Maulidur Rasul
pada bulan Rabiulawal, dirayakan bagi memperingati perjuangan Nabi
Muhammad s.a.w. Acara-acara seperti perhimpunan, syarahan dan bacaan
berzanji biasanya diadakan.
Cina
Rakyat Malaysia berketurunan Cina merayakan Tahun Baru Cina pada hari pertama di dalam bulan pertama kalendar Cina pada bulan Januari atau Februari setiap tahun. Perayaan bermula dengan kaum keluarga berkumpul untuk makan malam bersama. Perayaan ini berlanjutan selama 15 hari hingga hari Chap Goh Mei yang dirayakan pada malam ke-15. Seperti biasa di perayaan ini, pemberian bungkusan merah "angpow" memeriahkan lagi suasana, terutama kepada kanak-kanak. Selain itu, terdapat juga perayaan Kuih Bulan yang ada kaitannya dengan legenda bidadari dari bulan lapan kalendar Cina. Kuih-kuih bulan dan tanglung-tanglung adalah ciri-ciri utama perayaan tersebut.
Hindu
Bagi penganut agama Hindu, Deepavali atau perayaan Cahaya pada bulan Aippasi mengikut kalendar keturunan Tamil (OktoberNovember) merupakan masa untuk kaum keluarga dan sanak-saudara bergembira. la menandakan kemenangan, kecerahan mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, kebijaksanaan mengatasi kejahilan. Perayaan bermula dengan upacara sembahyang dan diikuti dengan kunjungan ke rumah sanak saudara. Di waktu malam, pelita-pelita dipasang untuk memeriahkan lagi perayaan.
Hiasan "kolam" rekaan burung merak merupakan lambang penyembahan dewa Lakshmi.
Para penganut agama Hindu di Malaysia juga merayakan Hari Thaipusam pada bulan Januari sebagai penghormatan kepada Dewa Muruga. Di perayaan tersebutlah, Batu Caves yang terletak di Kuala Lumpur menjadi tumpuan para penganut yang membawa persembahan-persembahan di atas kavadi untuk dipersembahkan kepada dewa tersebut.
Buddha
Bagi para penganut agama Buddha, bulan Mei menandakan tibanya Hari Wesak sebagai memperingati tiga peristiwa penting di dalam hidup Buddha, iaitu hari keputeraannya, hari mencapai kemantapan fikirannya dan juga hari kemangkatannya. Di perayaan tersebut, upacara-upacara bersembahyang dan perarakan diadakan.
Kristian
Pada Bulan Disember para penganut Kristian merayakan Hari Krismas sebagai menandakan kelahiran Nabi Isa a.s., dengan bersembahyang di gereja-gereja dan menziarahi suadara-mara dan rakan-rakan.
Perayaan Bagi Kaum-kaum di Sabah dan Sarawak
Di Sabah dan Sarawak, terdapat pula perayaan-perayaan tradisi orang Kadazan dan Dayak yang memperkayakan lagi kebudayaan masyarakat Malaysia. Pada bulan Mei setiap tahun di Sabah, orang-orang Kadazan mengadakan Perayaan Menuai yang merupakan satu acara penting untuk para petani mereka. Kemuncak perayaan ialah persembahan tarian Sumazau. Tamu Besar atau pasar tahunan pula merupakan satu pesta di mana acara-acara sukan tradisional diadakan.
Perayaan-perayaan tradisi orang-orang Dayak di Sarawak pula terdiri daripada Gawai Batu (permulaan musim menanam padi), Gawai Burung (perayaan berkaitan dengan sesuatu tanda atau mimpi yang tidak baik), Gawai Bersimpan (kesyukuran setelah selesai menuai) dan Gawai Antu (perayaan untuk roh orang-orang yang sudah meninggal dunia). Paling penting ialah Gawai Kenyalang dan Gawai Antu. Tarikh 1 jun adalah Hari Gawai di mana beberapa gawai dirayakan di negeri tersebut.
Tarian Sumazau dari suku kaum Dusun
Cuti Am
Selain perayaan-perayaan kaum yang dilangsungkan, cuti am juga diisytiharkan bagi beberapa acara penting di negara ini. Di antaranya ialah Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan yang disambut di seluruh negara pada 31 Ogos setiap tahun, Perayaan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari Sabtu minggu pertama bulan jun, Hari Keputeraan Raja/Sultan di peringkat negeri bagi negeri-negeri yang berkenaan sahaja. Hari Pekerja pada 1 Mei, Maal Hijrah (Awal Muharram) dan perayaan-perayaan lain seperti "Good Friday" dan Nuzul Quran yang diraikan di beberapa buah negeri yang tertentu sahaja.
No comments:
Post a Comment