Warna Merah Dalam Kehidupan Masyarakat Cina
Warna merah menjadi kebanggaan masyarakat Cina
Warna merah atau warna hong (dalam bahasa Cina) adalah warna pilihan utama masyarakat Cina. Pemakaian warna tersebut telah diamalkan sejak turun temurun lagi. Tidak ada warna lain yang menjadi pilihan utama , hanya warna merah. Bukan sekadar itu, warna merah sendiri sebenarnya mempunyai makna yang tersendiri bagi masyarakat Cina. Warna merah menggambarkan keadaan yang terang dan ceria telah menjadi lambang kegembiraan dan menjanjikan sinar kecerahan dalam kehidupan.
Warna merah itu dipanggil hong dalam bahasa Cina dan bunyinya kedengaran seperti ong atau bertuah. Maka, masyarakat Cina percaya warna ini akan membawa tuah jika dipakai pada hari pertama Tahun Baru Cina dan majlis perayaan yang lain. Mereka percaya dengan pemakaian warna ini akan dilimpahi tuah sepanjang tahun.
Warna Tuah
Mereka percaya warna merah membawa tuah dan kecemerlangan dalam hidup mereka. Nasib mereka akan ditimpa malang sekiranya memakai pakaian yang berwarna hitam dan warna-warna yang gelap. Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu dalam majlis-majlis perayaan kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.
Sambutan Hari Raya Cina
Hiasan tanglung berwarna merah yang
pelbagai saiz dan bentuk sering memenuhi kawasan kediaman masyarakat
Cina. Ini menunjukkan perayaan itu akan disambut dengan cukup meriah.
Hiasan dalaman rumah dan tanglung-tanglung serta birai pintu rumah juga
akan diwarnai dengan warna merah bagi menyambut ketibaan
tetamu. Hiasan bunga-bunga juga berona merah mewujudkan semangat
keceriaan yang padu dan harmoni.
Seamasa zaman dahulu orang-orang tua
masyarakat Cina sering berpesan agar orang-orang kampung menggantungkan
kertas berwarna merah di pintu-pintu dan tingkap-tingkap rumah mereka
pada setiap waktu menjelangnya tahun baru. Ini kerana
dikhuatiri binatang bernama Nian( raksaksa) akan mengganas di kawasan
rumah mereka. Warna merah sangat ditakuti oleh Nian, dan mampu menghalau
raksaksa tersebut.
Angpau
Antara sebab mengapa Tahun Baru Cina dinanti-nantikan oleh kanak-kanak ialah pemberian 'angpau' atau sampul merah yang berisi duit. Bagi yang belum berkahwin, mereka layak untuk menerima angpau. Pada perayaan Tahun Baru Cina, angpau biasanya diberi oleh yang sudah berkahwin kepada yang belum berkahwin. Sesiapa yang belum berkahwin layak menerimanya tanpa mengira usia.
Pemberian angpau oleh masyarakat Cina merupakan tradisi utama mereka dan sering diberikan dalam majlis sosial dan keluarga seperti jamuan perkahwinan Cina atau ketika perayaan seperti Tahun Baru Cina.
Warna merah sampul ini melambangkan tuah. Jumlah wang yang terkandung dalamnya lazimnya dikehendaki bermula dengan angka genap kerana angka ganjil dikaitkan dengan wang yang diberi ketika majlis pengebumian . Jumlah wang yang diberi pada majlis perkahwinan biasanya adalah untuk menampung perbelanjaan hadirin serta membantu pasangan pengantin baru.
Perkahwinan
Warna merah dalam kalangan masyarakat
Cina bererti tanda baik dan gembira. Oleh kerana itu, sekiranya tetamu
memberi hadiah eloklah dibungkus atau dibalut dengan kertas berwarna
merah. Kebiasaannya warna merah dipilih bagi menggambarkan nasib yang
baik. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, Lilin berwarna merah yang
diukir menyerupai naga dan burung pheonix digunakan pada hari
perkahwinan adalah untuk melambangkan penyatuan terhadap keluarga baru.
Menurut kepercayaan masyarakat Cina, lilin merah ini akan digunakan pada
malam perkahwinan bagi menghalau hantu dan roh-roh jahat. Warna yang
terang boleh menghalau roh-roh jahat daripada mendekati mereka. Baju
pengantin sebaik-baiknya berwarna putih dan merah sebagai lambang
keceriaan.
Kematian
Lazimnya pada hari tersebut, ahli keluarga si mati akan memakai baju berwarna hitam. Warna lain tidak digalakkan, apatah lagi warna merah yang dikatakan mempersenda si mati dan keluarganya. Baju yang berbunga juga dilarang dalam upacara kematian tersebut. Pakaian ahli keluarga si mati adalah seperti jubah hitam yang lengkap dengan topi.
Keteguhan dan Keberanian
Warna merah sebenarnya membawa maksud
keteguhan, keberanaian, keceriaan dan kemegahan. Warna ini dikatakan
memberi dorongan kepada keadaan yang lebih positif dalam kehidupan
masyarakat Cina. Warna ini sering digunakan dalam perayaan dan sambutan
majlis kebesaran mereka kecuali hari-hari yang menunjukkan keadaan
kesedihan dalam kehidupan mereka. Warna ini akan terus menjadi simbol
kemegahan masyarakat tersebut malah melambangkan keteguhan dan
kemegahaan negara apabila digunakan sebagai simbol pada logo-logo,
lencana, bendera dan setem malah turut diterjemahkan pada wang kertas
dan duit syiling.
Warna merah sering dikaitkan dengan
masyarakat Cina terutama pada setiap kali sambutan Tahun Baru Cina.
Warna tersebut akan mendominasikan persekitaran kehidupan mereka. Namun,
warna merah juga menguasai hampir setiap ruang di dalam dan luar rumah
mereka. Bila tibanya perayaan ini hiasan berwarna merah sering
digantung sepanjang jalan yang menandakan perayaan itu kini bukan
sahaja disambut oleh masyarakat tersebut tetapi juga sudah menjadi
seperti perayaan seluruh masyarakat.
Suntingan : Akhbar Utusan Malaysia
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
No comments:
Post a Comment